Utamakan Pendidikan - Daim
BANGI 17 Sept. - Perubahan orang Melayu perlu bersandarkan pada pendidikan dan bukan bertunjangkan pengumpulan kekayaan semata-mata, kata bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin hari ini.
Beliau berkata masyarakat Melayu yang berpendidikan akan dapat membantu mewujudkan lebih ramai kelas pertengahan yang amat penting bagi kestabilan politik dan ekonomi negara.
"Fasa semula jadi kedua bagi perubahan sosial dan ekonomi orang Melayu adalah hanya melalui pendidikan, bukannya penyertaan ekuiti. Anda perlu beri tumpuan pada pendidikan dan mereka akan mempunyai asas yang mencukupi untuk menyertai pasaran modal,'' katanya dalam ucapan beliau mengenai "Isu Mendepani Orang Melayu''.
Teks ucapan Daim diedarkan selepas beliau dianugerahkan ijazah kehormat Doktor Ekonomi oleh Universiti Kebangsaan Malaysia pada majlis konvokesyen ke-33 yang berlangsung di universiti itu di sini.
"DEB (Dasar Ekonomi Baru) selama ini lebih bertumpu pada penyertaan ekuiti orang Melayu. Laluan orang Melayu miskin untuk berjaya bukannya dengan cara memiliki saham di KLSE (Bursa Saham Kuala Lumpur, kini Bursa Malaysia).
"(Tetapi) adalah menerusi pendidikan. Ketaksuban dengan angka ekuiti telah memadamkan cerita sebenar kejayaan DEB. Sejumlah besar orang Melayu yang berpendidikan telah dihasilkan sejak 70-an, mereka telah menyumbang kepada peluasan kelas pertengahan,'' katanya.
Bagaimanapun, katanya isu pendidikan tidak harus terbatas kepada pendidikan tinggi kerana semua pendidikan peringkat lain juga sama pentingnya bagi kemajuan masyarakat itu.
"Juruteknik peringkat pertengahan dan penyedia perkhidmatan juga sama penting. Seorang pemasang batu-bata yang berkelayakan adalah penting kepada pemaju sama seperti seorang jurutera. Adakah orang Melayu telah melahirkan tukang paip, juruelektrik, jurukimpal dan tukang kunci yang mencukupi? Apakah jenis institusi pendidikan yang kita perlukan untuk melahirkan bakat sedemikian?'' katanya.
Daim juga berkata adalah penting untuk mewujudkan masyarakat yang tahu berfikir tetapi masih wujud lompang dalam perkara itu kerana kerjaya berkenaan tidak dibayar tinggi.
"Bagaimana orang Melayu boleh berfikir sedangkan mereka tidak membaca jurnal mengenai fakta, apabila majalah yang dijual dipenuhi dengan cerita mengenai hantu, pontianak dan orang bunian? Apabila masa lapang mereka dihabiskan dengan menonton Akademi Fantasia?'' soalnya.
Menyentuh DEB dengan lebih lanjut, Daim berkata walaupun dasar itu yang diperkenalkan pada 70-an menangani isu kemiskinan yang melanda orang Melayu, pembasmian kemiskinan di kalangan kaum lain, yang merupakan tonggak kedua dalam DEB, telah dilupakan.
"Terdapat orang Cina, India dan pribumi yang miskin seperti mana orang Melayu. Mereka juga memerlukan bantuan seperti juga orang Melayu yang miskin. Kemiskinan yang dihadapi kaum lain sepatutnya turut menghantui hati nurani kita. Kemiskinan ialah isu nasional, bukan isu satu kaum.
"Masalah orang Melayu tidak hanya berkisar dengan orang Melayu sahaja. Begitu juga, masalah kaum India turut merupakan masalah kepada orang Melayu dan Cina. Ia merupakan masalah nasional. Kita hidup sebagai satu unit,'' kata Daim.
Mengenai rasuah, Daim berkata ia bermula dengan ketidakupayaan untuk mematuhi konsep pendapatan dengan perbelanjaan, dan berpunca daripada sikap cemburu dan angan-angan.
"Meminta suapan daripada usahawan Melayu yang mengabdikan seluruh hidupnya untuk meningkatkan perniagaan mereka adalah perbuatan amat dahsyat. Ia bermula dengan perasaan dengki dan ketidakupayaan untuk menerima kejayaan orang Melayu dan orang lain.
Petikan: Bernama

1 Comments:
That was very thoughtful indeed...actually, more we learn..more we feel our own ignorance.., sadly not everyone think like else... :-)
Post a Comment
<< Home