Sunday, September 04, 2005

China guna enjin Petronas EO1 untuk kereta keluarannya

BEIJING 2 Sept. - Keupayaan Petronas menarik perhatian syarikat pengeluar kereta di China untuk menggunakan teknologi enjin Petronas E01 adalah satu kejayaan unik dan membanggakan bagi syarikat petroleum nasional dan Malaysia, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sehubungan itu beliau yakin teknologi berkenaan terus mendapat sambutan kerana selama ini kebanyakan syarikat-syarikat Malaysia melabur di luar negara dalam bentuk kewangan sebaliknya Petronas berupaya mengkomersialkan teknologi.

"Petronas berusaha selama satu setengah tahun untuk tujuan ini, hasilnya sungguh membanggakan. Saya yakin kereta yang menggunakan teknologi enjin Petronas akan dapat sambutan selepas dipasarkan,'' katanya kepada para pemberita Malaysia di sini, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri memberitahu demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani Surat Pernyataan Hasrat (LOI) dengan dua syarikat China, Nanjing Automobile Corporation (NAC) dan Brilliant Culture Group (BCG) untuk penggunaan Petronas E01 bagi kereta keluaran NAC.

Menurut Najib, perbincangan lanjut mengenai usaha sama itu masih dijalankan oleh tiga syarikat berkenaan dan beliau yakin pengeluaran kereta menggunakan teknologi Petronas oleh NAC akan menjadi kenyataan dalam tempoh dua tahun ini.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Mohd. Hassan Marican berkata perbincangan mengenai perkara itu dijangka selesai antara tiga hingga empat bulan ini.

Katanya, usaha sama itu tidak melibatkan sebarang perbelanjaan sebaliknya syarikat petroleum negara hanya melesenkan teknologi Petronas E01 kepada NAC untuk kereta penumpang keluaran syarikat berkenaan.

"Inilah kerjasama pertama Petronas dengan syarikat asing dalam aspek ini dan kilang pengeluaran kereta NAC berpangkalan di Nanjing,'' ujar beliau lagi.

Kepada satu soalan kenapa teknologi yang sama tidak digunakan pada enjin kereta keluaran tempatan sebaliknya menarik minat pengeluar di China, Mohd. Hassan berkata, pihak asing mungkin lebih menyedari kelebihan enjin tersebut.

NAC syarikat milik kerajaan China yang beribu pejabat di bandar raya Nanjing merupakan salah sebuah syarikat automotif yang penting di negara ini dengan mempunyai lebih 30 anak syarikat dan 400 syarikat bersekutu.

BCG pula merupakan sebuah firma perunding yang mempunyai kepakaran dalam perancangan strategik, pemasaran dan hubungan dengan kerajaan dan berpangkalan di Beijing selain mempunyai cawangan di Shanghai dan Hong Kong.

Petronas yang beroperasi di lebih 30 negara, mula memasuki China pada 1991 dalam sektor minyak dan gas sebelum memperluaskan kegiatannya dalam pemasaran minyak pelincir melalui Petronas Marketing (China) Co Ltd berpangkalan di Shenzen.

Pada majlis menandatangani LOI, Petronas diwakili oleh Mohd. Hassan, manakala Naib Presiden NAC, Lu Zhenxin dan Pengarah Urusan BCG, Maggie Ip mewakili syarikat masing-masing.

Perjanjian itu akan membolehkan tiga syarikat tersebut terus meneroka keupayaan teknologi enjin Petronas E01 bagi pengeluaran kelompok enjin 1.8 dan 2.2 liter untuk disesuaikan dengan kereta keluaran NAC.

Petronas E01 lahir pada tahun 1998 selepas tiga tahun penyertaan syarikat minyak itu dalam siri perlumbaan Formula 1 dan dipasang pada kereta rasmi Petronas Malaysian Formula 1 Grand Prix pada 1999. - Extracted From Utusan Malaysia Sept 04, 2005

0 Comments:

Post a Comment

<< Home