Monday, August 29, 2005

Komen: "Melayu didodoikan kejayaan palsu"

Ironinya orang Melayu ini ialah pemikiran dan sikap mereka yang agak ganjil berbanding dengan kaum-kaum lain di dunia dengan penuh keunikan tersendiri.

Pertama orang Melayu terkenal dengan sifat-sifat mudah tersinggung dan berkecil hati apabila ditegur. Suka membuat penilaian berlandaskan emosi meskipun membabitkan hal-hal yang remeh-temeh.

Rancangan Realiti yang berleluasa mutakhir ini amat serius dan hampir kesemuanya menjurus kepada hiburan semata-mata tanpa menyumbang apa-apa kepada minda.

Bukannya menghentam 100%, tapi janganlah leka, bangsa lain sibuk memajukan diri sendiri demi menyahut cabaran hidup yang makin mencabar dan getir, bangsa kita pula sibuk berdebat dan berhujah isu-isu yang remeh-temeh.

Sedarlah, sempena Hari Kemerdekaan yang ke-48 ini...Merdekakan Jiwa & Minda dari segala pengaruh yang tidak berfaedah dan anasir Yahudi.

bersambung...

Melayu didodoikan kejayaan palsu

Di Singapura, kami tidak mendewakan pemain-pemain bola.'' Begitulah kata-kata Phillip Yeo, Ketua Agensi Penyelidikan Untuk Sains dan Teknologi Singapura. Saya yakin Singapura juga tidak mendewa-dewakan golongan artis seperti yang berlaku kepada kita di Malaysia.


Saya tidak pernah terbaca atau mendengar berita yang penyiar TV di sana menganjurkan banyak siri realiti TV yang tidak mendatangkan sebarang faedah jangka panjang untuk kemajuan negara kecil mereka. Tetapi berlainan pula dengan negara kita, itu yang lebih diutamakan sejak kebelakangan ini.

Jika beginilah sikap rakyat negara kita nampaknya kita akan terus menjadi sebuah negara yang terbelakang dalam segala bidang yang berfaedah untuk masa depan negara.

Di Singapura, idola mereka adalah orang terpelajar, bukan artis. Orang terpelajar dijadikan contoh kepada anak-anak muda Singapura untuk mengejar kemajuan dalam bidang sains dan teknologi.

Anak-anak mereka digalakkan mendapat pelajaran setinggi yang mungkin kerana mereka sedar tanpa generasi yang berpelajaran dan berpendidikan tinggi negara mereka akan ketinggalan.

Singapura sedang menuju ke arah apa yang disebut knowledge economy (ekonomi ilmu pengetahuan) tetapi kita lebih kepada entertainment economy (ekonomi hiburan).

Artis-artis yang berjaya meraih `ijazah' dari Akademi Fantasia (AF) lebih diberikan tempat dalam liputan akhbar daripada kejayaan anak-anak Malaysia yang berjaya dalam bidang sains dan teknologi.

Kalau beginilah cara orang Melayu menguruskan anak bangsa mereka nampaknya peluang untuk menjana Towering Malays atau Melayu Unggul akan punah.

Mana ada anak Melayu yang berjaya dalam bidang nyanyian di peringkat antarabangsa sehingga mereka terkenal seperti artis-artis dari Barat. Pernahkah kita mendengar jualan album artis-artis Melayu dijual jutaan keping di pasaran antarabangsa?

Kalau setakat menyanyi di Royal Albert Hall sudah dianggap satu kejayaan besar bagi anak Melayu dan bukan meraih ijazah kelas pertama di universiti Cambridge atau Oxford, rosaklah anak Melayu.

Kaum Cina dan India mendahulukan kejayaan akademik daripada hiburan tetapi untuk anak-anak Melayu, ibu bapa mereka sanggup berkorban apa saja, bergolok bergadai asalkan anak mereka mendapat tempat dalam Malaysian Idol dan AF.

Mereka tidak sanggup berkorban atau bergolok bergadai untuk memastikan anak-anak mereka mendapat pendidikan yang terbaik. Sesungguhnya orang Melayu akan jadi bahan ketawa kaum lain pada suatu hari nanti.

Orang Melayu masih buta dengan agenda orang lain untuk menjatuhkan mereka.

Tulisan saya ini mungkin tidak akan menyenangkan orang yang tidak mengambil berat tentang arah tuju orang Melayu. Ia mungkin bagai cili yang terpepak atau pahit bagai hempedu tetapi seperti kata orang, yang pahit itulah ubat.

Malangnya orang Melayu suka digula-gulakan, dipuji berlebih-lebihan. Biar menang sorak kampung tergadai. Biar papa asalkan bergaya.

Sampai bila kita hendak dodoikan orang Melayu dan anak Melayu dengan kejayaan yang palsu. Kita mahukan durian tapi benih tomato yang kita tanam.

Di mana rasional dan logiknya? Begitu rendahkah daya fikir orang Melayu dan anak Melayu? Kalaulah pejuang kemerdekaan dari kalangan orang Melayu yang lalu masih hidup, mereka pasti akan menangis kerana kita telah gagal mendidik anak bangsa ke arah kemajuan yang dituntut oleh agama Islam.

Kita gagal mengisi kemerdekaan dengan anak-anak bangsa yang bijak berfikir dan bertindak demi kesinambungan kemegahan orang Melayu.

Mungkin Hang Tuah akan geleng kepala melihat orang Melayu hari ini menyalahgunakan kebebasan yang diperoleh. Mungkin Melayu tak hilang di dunia tetapi jika ada bangsa Melayu yang layu apalah gunanya.

Layu dengan lagu yang mendayu. Layu di pusat-pusat serenti. Layu di atas jalan raya yang serba moden. Layu di peringkat pengajian tinggi.

- Ahmad Nasir Mohamad, Alor Star, Kedah.

-Rencana Utusan Malaysia 29 Ogos 2005-

Monday, August 01, 2005

10 Kunci Persahabatan Yang Baik

10 Kunci Persahabatan Yang Baik.
  1. Pilih orang yang mempunyai minat yang sama seperti anda supaya anda mempunyai persamaan, tetapi jangan mengetepikan orang yang langsung tidak mempunyai persamaan dengan anda, bersikap terbuka baik untuk anda.
  2. Ingatlah pada satu pedoman penting iaitu berlaku baik terhadap orang lain sebagaimana anda suka diperlakukan. Sekiranya anda menghormati orang lain,orang lain akan menghormati anda juga.
  3. Sedarlah bahawa tiada siapa yang sempurna, setiap orang mempunyai sifat-sifat aneh dan kecacatan, dan menerima kecacatan antara satu sama lain adalah kunci persahabatan yang baik.
  4. Hargai pendapat satu sama lain.
  5. Sedarlah bahawa kawan yang rapat tidak dapat bersama kita sepanjang masa.
  6. Bina minat-minat yang lain dan jangan cemburu apabila kawan anda mempunyai minat-minat yang lain juga.
  7. Komunikasi sangat penting, kawan anda tidak boleh membaca fikiran anda. Sekiranya ada sesuatu yang menjejaskan persahabatan anda, beritahulah.
  8. Jangan biarkan faktor luaran seperti tekanan (stress) menjejaskan persahabatan anda. Kawan yang baik akan membenarkan anda melepaskan perasaan kepada mereka, tetapi jangan hanya mempergunakan mereka untuk melepaskan perasaan ... dan sebagai balasan anda sepatutnya bersedia untuk mendengar luahan perasaan mereka pula. Belajar daripada satu sama lain.
  9. Jangan mengata di belakang kawan anda.
  10. Pilih kata-kata anda dengan bijaksana kerana anda tidak boleh menariknya kembali.
* Petikan artikel